Suatu ketika kami tidak mengenali antara satu sama lain tetapi masa telah merubah segalanya tetapi selepas berakhirnya kursus ini kami akan mengikuti haluan masing-masing
“Seronok mengenali rakan-rakan semua,” kata Norlalily.
Semua bersetuju. DDM meninggalkan kenangan manis tentang berbagai ragam manusia yang kita temui. Ramai yang meninggalkan kesan bagaimana saya melihat kehidupan. DDM pada dasarnya adalah mengenai hubungan sesama manusia. Saya dapat melihat minda dan perwatakan manusia beraksi semasa DDM melalui cara mereka berinteraksi dan bekerja dengan orang lain. Saya menemui sifat positif dan negatif manusia.
Saya sedar bahawa sebagai Ketua Jabatan, hubungan interpersonal dengan rakan sekerja harus diambil secara serius. Saya harus menghormati dan memahami pendapat dan perspektif orang lain. Pada masa yang sama, personaliti kita juga harus mencerminkan kualitu yang ideal yang harus wujud dalam diri seorang Ketua jabatan
DDM telah mengajar saya erti tanggung jawab pada diri sendiri dan tindakan yang kita lakukan. Pengalaman pembelajaran ada kalanya menyedihkan. Tanggungjawab yang demikian, walaupun remeh adalah langkah pertama bagi mengenali kepentingan tanggungjawab dan pertanggungjawapan.
Sebagai Ketua Jabatan, sikap bertanggungjawab dan pertanggungjawaban sama ada sebagai guru atau ketua jabatan adalah ciri-ciri utama yang harus saya tegakkan. Terdapat beberapa individu yang meninggalkan kesan yang mendalam pada diri saya kerana sikap mereka yang toleran dan meletakkan kepentingan kumpulan daripada kepentingan sendiri. Antaranya ialah Cikgu Jonathan, Ketua Jabatan IT/MRLC dari Sekolah Rendah Pei Ying. Saya dapat melihat cirri-ciri seorang pemimpin dalam diri beliau dan ini membezakan beliau daripada yang lain. Melalui interaksi bersama beliau ternyata beliau amat ikhlas dalam tindakannya dan sanggup melakukan sesuatu yang merentasi tugas beliau bagi memastikan semua ahli kumpulan mendapat manfaatnya.
DDM merupakan masa keemasan bagi kita untuk membuat jaringan hubungan kerana kita akan berjuang bersama selama 4 bulan. Samada mereka mempunyai personaliti yang menarik atau sebaliknya saya percaya tidak salah bagi kita mengenali mereka dan berkongsi pengalaman masing-masing. Saya amat berbangga dan bertuah kerana menjadi sebahagian daripada keluarga DDM sesi Julai 2005. Semua peserta kursus pasti gembira kerana berjaya mengharungi cabaran DDM. Hah… ia ternyata tidak seteruk yang disangkakan !
Keluarga saya, terutama sekali ibu saya pastinya akan berasa bangga dengan pencapaian saya walaupun beliau masih lagi bersedih dengan pemergian ayahanda saya ke Rahmatullah genap seminggu sebelum saya memulakan kursus DDM. Saya berharap diploma yang diraih sedikit sebanyak dapat menebus renjisan air mata yang mengalir dan kedukaan yang bersarang di hati ini.
Realitinya, walaupun saya masih dibelenggu kesedihan, saya juga berasa bertuah kerana mempunyai rakan-rakan DDM seperti Norlaily, Putri, Sri Arianti, Ramlah, Noreha, Imran, Zulkarnain, Siti Fazila dan Rahmat yang sering membantu dalam mengharungi suka duka kursus DDM. Kepada semua rakan-rakan yang banyak membantu khususnya rakan-rakan yang mengikuti modul elektif bahasa Melayu termasuk juga Cikgu Saedah, jutaan terima kasih saya ucapkan. Tanpa Cikgu dan rakan-rakan sekalian pastinya diploma DDM tidak akan berada dalam genggaman. Terma kasih atas bantuan dan sokongan moral rakan-rakan semua. Kepada Cikgu Saedah, hanya Tuhan sahaja yang dapat membalas budi baik cikgu.
Natijahnya, sebagai Ketua jabatan, DDM membentuk sebuah bab yang amat signifikan dan bermakna dalam kehidupan saya. Ia adalah suatu proses pembelajaran bagi pendewasaan saya menjadi ketua jabatan yang memahami peranan saya dengan lebih baik. Walaupun terdapat elemen negatif yang wujud di sepanjang kursus ini tidaklah dinafikan bahawa unsur positif yang terdapat dalam kursus ini mengatasi unsur negatifnya. Ia merupakan pengembaraan kepada pendewasaan.
Saya telah belajar mandiri dan bertanggungjawab terhadap tindakan saya sendiri. Bagaimana masa depan kita bergantung kepada prestasi kita.
No comments:
Post a Comment