Saturday, November 29, 2008

Jauh Berjalan...Luas Pemandangan

Lawatan sambil belajar ke sekolah-sekolah dan industri-industri semasa kursus DDM merupakan suatu pengalaman yang membuka mata dan memperkayakan pengalaman saya. Setiap sekolah yang saya lawati pasti mempunyai sesuatu yang unik untuk dikongsi bersama. Saya berasa bertuah kerana berpeluang melawat sekolah-sekolah terkemuka seperti Institusi Raffles, Sekolah Tinggi Dunman, Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang, Sekolah Perempuan China Singapura, Sekolah Menengah Fairfield Methodist, Sekolah St Francis Methodist, Pusat Bahasa Tamil Umar Pulavar, Sekolah Menengah Juying dan sebagainya. Antara industri yang saya lawati termasuklah, Hospital Alexandra, Pusat ITE Dover dan yang mutakhir sekali Lembaga Perpustakaan Nasional (NLB)

Semasa lawatan ke Sekolah Menengah Fairfield Methodist banyak faedah yang diraih melalui perkongsian Cikgu Samsiah Mohd Diah, Ketua Subjek Bahasa Melayu sekolah tersebut. Banyak pengetahuan yang saya pelajari daripada inisiatif dan program yang dilakarkan bagi mencapai wawasan Jabatan dan juga sekolah. Misalnya, Jabatan Bahasa Ibunda Sekolah tersebut telah menjalankan program pengayaan berdasarkan profil pelajar bagi memastikan ia mendapat sambutan pelajar dan program berkenaan sesuai dengan keperluan mereka. Saya dapati perkongsian Cikgu Samsiah tentang pengajaran karangan naratif dengan menggunakan pengurusan grafik ini amat menarik sekali sebab idea yang diketengahkan dapat saya praktikkan di sekolah saya dengan pengubahsuaian mengikut keupayaan pelajar-pelajar sekolah saya.

Semasa lawatan ke Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang pula, Cikgu Senan Long, Ketua Subjek Bahasa Melayu sekolah tersebut telah memberikan penerangan yang terperinci mengenai progam EMAS dan cabaran yang beliau hadapi dalam mengendalikan program tersebut.

Menurut Cikgu Senan Long, Program Pilihan Bahasa Melayu bagi Sekolah Menengah (EMAS) telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan pada tahun 2001. Program ini dijalankan di Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang (BPGHS). Program pengayayaan selama empat tahun ini dibuka kepada para pelajar Bahasa Melayu Lanjutan dari BPGHS dan sekolah-sekolah lain.

Antara program pengayaan yang dianjurkan bagi program empat tahun ini termasuklah penulisan kreatif dan penerbitan karya pelajar, perkhemahan bahasa dan budaya, alat muzik angklung dan gamelan, perbincangan, forum dan ceramah, dan darmawisata ke luar Negara.

Secara peribadi saya dapati program pengayaan di BPGHS ini amat menarik sekali sebab idea-idea yang diketengahkan dapat saya praktikkan di sekolah saya bagi mempertingkatkan lagi ketrampilan para pelajar saya dalam bahasa Melayu sekaligus menjadi nadi utama kepada usaha untuk memartabatkan lagi bahasa Melayu. Program yang dijalankan memang selari dengan matlamat kurikulum bahasa Melayu terkini yang menekankan kepentingan dwibudaya.

Selain program bahasa Melayu saya juga berpeluang melihat sendiri bagaimana program bahasa Tamil dijalankan menerusi lawatan ke Pusat Bahasa Tamil, Umar Pulavar.Antara program pengayaan bahasa Tamil yang dianjurkan ialah Orkestra India, Tarian Klasik dan Semi-klasik India, Classical and Semi-classical dance, Language and Cultural Camp, MRL Club, Tamil IT Club, Literary Forum Bahasa, Pidato, Bahas dan Kuiz Bahasa, Minggu Perpustakaan dan Penulisan Kreatif dalam bahasa Tamil. Pusat bahasa Tamil ini juga mengadakan sesi perkongsian Profesional.

Saya dapati UPTLC amat menarik dan impresif kerana ia berfungsi sebagap pusat sumber yang berkesan bagi pengajaran dan pembelajaran bahasa Tamil. Sebagai guru bahasa ibunda saya juga boleh menggunakan kemudahan yang ada bagi tujuan mesyuarat dan aktiviti-aktiviti ilmiah seperti perkongsian profesional dan sebagainya.

Lawatan ke Sekolah Tinggi Dunman pula merupakan pengalaman yang amat bermakna kerana saya berpeluang untuk mengetahui tentang perlaksanaan Program Bersepadu dan Program Dwibudaya bahasa Cina (Bicultural Studies Programme). Yang mengagumkan ialah kurikulum pengajaran bahasa ibunda di sekolah ini agak berbeza daripada sukatan pelajaran bahasa Cina yang konvensional kerana sebahagian besar daripada kandungan pengajarannya merangkumi bidang ulasan, apresiasi dan kritikan filem.

Lawatan ke Sekolah Menengah Juying pula merupakan pengalaman yang amat bermakna kerana saya berpeluang untuk berbual mesra dan mewawancara dua orang pengetua yang berwibawa sekaligus iaitu, Cikgu Harris Sumardi, Pengetua Sekolah Menengah Juying dan Cikgu Wan Imran dari Sekolah Rendah Boon Lay Gardens mengenai rahsia kejayaan mereka dan juga cabaran yang dihadapi oleh pengetua Melayu yang merupakan guru bahasa Melayu suatu ketika dahulu.

Wawancara tersebut membolehkan saya mengenali Cikgu Harris dan Cikgu Wan Imran dengan lebih dekat lagi. Wawancara itu juga mendedahkan saya kepada 2 bentuk stail kepimpinan yang berbeza. Saya juga diberikan taklimat tentang ciri-ciri seorang pemimpin yang baik, dan bagaimana memimpin sesebuah organisasi yang kompleks. Melalui sesi wawancara saya mula sedar bahawa adalah tidak mustahil bagi seorang guru bahasa Melayu seperti saya untuk menjawat jawatan sebagai seorang pengetua suatu hari nanti sekiranya saya mempunyai kesungguhan dan rajin berusaha bak kata pepatah, “rajin dan usaha adalah tangga kejayaan”.

No comments: