Kehidupan di abad 21 memperlihatkan perkembangan ilmu yang begitu pantas. Kemajuan dalam teknologi maklumat telah dan akan terus memberi kesan kepada cara kita berfikir dan bertindak. Fungsi sekolah tidak lagi dilihat sekadar penyampai ilmu semata-mata, tetapi perlu bertindak sebagai wadah yang paling sesuai bagi menjana generasi muda yang mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang tinggi, berani meneroka pembaharuan, dan berupaya mengadaptasikan diri dengan perubahan sejagat serta boleh mengasimilasi perubahan itu dengan baik.
Tahun 2005 diwarnai oleh perubahan dalam kurikulum pengajaran bahasa Melayu dengan penekanan kepada dwibudaya dan bukan lagi dwibahasa. Lalu, satu daripada cabaran-cabaran di era persejagatan ini adalah untuk menghentikan segregasi di peringkat sekolah khususnya dalam Jabatan Bahasa Ibunda. Jabatan Bahasa Ibunda mempunyai status yang unik kerana mempunyai tiga bahasa ibunda yang berbeza di bawah satu panji. Oleh itu terdapat kecenderungan untuk meminggirkan sesuatu bahasa itu daripada proses integrasi disebabkan ketiadaan arah yang jelas dan kepemimpinan kurikulum. Pada dasarnya, terdapat persamaan di kalangan ketiga-tiga bahasa ibunda kerana ia berkongsi ‘platform’ yang sama iaitu pedagogi yang serupa dan pengajaran kemahiran teras iaitu kemahiran mendengar, lisan, membaca dan menulis.
Ketiadaan kepemimpinan kurikulum juga merupakan cabaran selanjutnya. Secara ideal sekiranya ketua jabatan bukan daripada bangsa Melayu, jawatan informal Ketua Subjek Bahasa Melayu harus diadakan. Memandangkan penyelaras yang dilantik adalah jawatan informal yang kurang terlatih terdapat kepincangan dalam penyediaan kurikulum.
Perubahan profil pelajar yang berubah juga merupakan cabaran selanjutnya kerana majoriti pelajar hari ini datang daripada keluarga yang berbahasa Inggeris. Pengajaran bahasa Melayu dianggap sesuatu tugas yang payah tetapi tidak mustahil untuk menyedarkan para pelajar tentang nilai bahasa Melayu. Lantaran itu adalah menjadi satu cabaran untuk guru-guru mencari pendekatan alternatif untuk menjadikan pengajaran bahasa Melayu lebih hidup dan menarik.
Satu lagi cabaran ialah untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu bahasa yang hidup supaya ia diminati oleh para pelajar. Sehubungan itu, pengajaran bahasa yang disampaikan perlu disesuaikan dengan trend dan keperluan semasa sama ada dari segi pemilihan bahan, strategi, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi, keupayaan berfikiran kritis dan kreatif serta aspek pentaksiran yang menuntut penilaian kembali. Persoalannya, adakah kita menilai pelajar berdasarkan apa yang perlu dinilai ataupun kita menilai apa yang diajar? Adakah kurikulum mengarah dan memandu penilaian atau penilaian mengarah dan memandu kurikulum? Itulah antara isi-isu ruwet yang memerlukan jawapan dan harus dijadikan bahan renungan.
Cabaran seterusnya ialah pengunaan “Sebutan Baku” di sekolah-sekolah rendah mahupun menengah. Dalam banyak situasi, pelajar tidak menggunakan sebutan
Kini, sukatan pengajaran bahasa Melayu sekali lagi dilanda suatu musibah iaitu kelemahan kemahiran lisan. Keadaan ini diburukkan lagi oleh kecenderungan pelajar untuk menukar kod dan berbual dengan mengunakan “bahasa pasar” atau “bahasa slanga” dan kini “bahasa internet” yang pastinya akan menjejaskan keseluruhan standard bahasa Melayu di sekolah-sekolah.
Cabaran seterusnya ialah sukatan bahasa Melayu yang ibarat “ satu acuan, muat semua” (One-size-fits-all). Pada masa ini tiada provisi bagi sukatan B di peringkat sekolah rendah. Sukatan pelajaran bahasa Melayu juga tidak dilakarkan untuk memenuhi keperluan pelajar yang berbagai kebolehan di peringkat darjah 1 (penutur jati dan bukan penutur jati)
Kini, ibu bapa inginkan anak-anak mereka membesar dengan nilai-nilai moral seperti kasih sayang, keadilan, mempunyai perasaan bertimbang rasa dan rajin berusaha. Kemungkinan besar, pada tahun-tahun akan datang masyarakat kita akan sedikit demi sedikit hilang sifat perikemanusiaan mereka. Ini menunjukkan satu ramalan yang kurang baik pada tahun hadapan. Penghakisan nilai-nilai moral ialah sesuatu yang harus dibimbangkan pada masa ini. Apa lagi pada masa hadapan!
Oleh itu, cabarannya kita selanjutnya adalah untuk menghentikan penghakisan nilai-nilai moral dan mengelakkan kehilangan sikap kemanusiaan dengan menerapkan unsur-unsur dwibudaya dalam pengajaran bahasa Melayu. Menerapkan pengajaran TLLM ke dalam kurikulum sekarang juga merupakan suatu cabaran yang genting memandangkan pencapaian akademik menjadi keutamaan guru-guru.
Kini bahasa Melayu berada di persimpangan. Apakah kesudahannya? Apakah ini tanda-tanda bahawa bahasa Melayu akan hilang martabat dan kepentingannya. Sama-samalah kita tunggu dan lihat pergolakan selanjutnya dengan penuh debaran.
Tahun 2009 bakal membawa cabaran-cabaran yang lebih hebat kepada guru-guru bahasa Melayu. Guru-guru bahasa Melayu harus bekerja keras dan membuat anjakan radikal untuk mengatasi cabaran-cabaran yang getir ini untuk melestarikan dan memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat yang lebih tinggi. Adalah diharapkan pada tahun-tahun mendatang guru-guru bahasa Melayu dapat menghadiri kursus-kursus yang merentasi sempadan bahasa Melayu dan menghadiri seminar dan simposium di luar lingkungan bahasa Melayu.
Kesimpulannya, Jabatan Bahasa Ibunda haruslah mengorak langkah dan merintis jalan bagi pendekatan yang inklusif bukan ekslusif dan melibatkan diri bukan sahaja dalam aktiviti bahasa ibunda sahaja tetapi juga aktiviti sekolah keseluruhanannya. Bagi memberi nilai tambahan, perkongsian professional intra-jabatan mengenai pedagogi juga harus digalakkan. Contohnya, menganjurkan Minggu Membaca dengan kerjasama Jabatan Bahasa Inggeris. Yang penting kita tidak harus berhenti setakat peringkat terbaik kita, kita harus berusaha duduk sama tinggi dan berdiri sama rendah dengan jabatan-jabatan yang lain. Setelah berjaya melalui cabaran-cabaran yang lalu kita harus bersikap optimistik. Semoga masyarakat Melayu dapat meneruskan kehidupan seribu tahun lagi dan dapat bersikap tegas untuk mendaulatkan bahasa Melayu.
Ketua Jabatan Bahasa Ibunda
Sekolah Menengah Dunearn
No comments:
Post a Comment