Assalamualaikum wr. wbh
Selamat Sejahtera guru-guru dan pelajar-pelajar sekalian,
Segala puji-pujian dan lafaz kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia-Nya blog ini dapat diterbitkan. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan sekalung penghargaan dan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada guru-guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Dunearn atas segala daya usaha dan komitmen yang ditunjukkan untuk menghasilkan blog yang sensasi lagi berinformasi ini.
Seperti yang diketahui, kita sekarang berada dalam era ledakan maklumat. Maka, amatlah perlu bagi kita untuk melihat jauh ke depan dan menyesuaikan diri kita dengan perubahan-perubahan radikal yang dibawa oleh era siber, dalam usaha mewujudkan generasi pelajar yang berminda saintifik, kreatif, inovatif, mencintai ilmu, progresif, berbudaya fikir, di samping berakhlak dan beradab.
Perubahan dalam arena pendidikan menuntut perubahan paradigma, sikap dan perlakuan agar setiap orang mampu berfungsi dan bersaing secara cekap dan berketrampilan. Satu daripadanya ialah konsep 'belajar sepanjang hayat' yang perlu menjadi amalan budaya setiap pelajar.
Kewujudan blog ini merupakan satu usaha menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan melestarikan penggunaan bahasa Melayu. Dari itu, saya berharap blog ini bukan sahaja dapat berfungsi sebagai pemangkin bagi para pelajar meningkatkan penguasaan bahasa Melayu mereka, malah menggalakkan para pelajar menggunakan bahasa Melayu yang baku dan berkualiti tinggi dalam kehidupan seharian mereka.
Akhir sekali, saya mengalu-alukan kemunculan blog ini ini. Semoga kita dapat mengekalkan tradisi kecemerlangan dan keunggulan berkarya yang sudah lama diterajui. Mudah-mudahan, usaha yang kecil ini dapat dijadikan asas kepada kita untuk melangkah kehadapan dalam membina kecemerlangan. Akhir kata, terimalah blog ini dengan hati terbuka dan dada yang lapang. Sekian. Terima kasih dan Selamat Maju Jaya !
Ketua Jabatan Bahasa Ibunda
Sekolah Menengah Dunearn
“ Ilmu itu didapati dengan lidah yang gemar bertanya dan akal yang gemar berfikirnn”.(Abdullah Abbas)
No comments:
Post a Comment