Blog ini dirakamkan dengan tujuan untuk memaparkan pandangan, pemerhatian dan pemikiran saya dalam mengharungi cabaran sebagai ketua Jabatan Bahasa Ibunda di samping ingin berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang tidak ternilai yang telah terkumpul selama saya mengajar.
Saya percaya dan yakin bahawa selepas berkursus seorang guru tidak akan tamat sumbangan dan jasanya. Seorang guru yang sejati yang mencintai ilmu dan pengetahuan, berfikiran positif dan terbuka, yang sentiasa meneroka alam minda manusia tetap akan mencurahkan dan menyumbangkan idea dan pemikirannya kepada masyarakat perguruan melalui pelbagai cara dan media terutama di zaman siber ini di mana kemudahan dan kecanggihan internet dapat mendekatkan dan mempertemukan dua individu menerusi lelaman blog.
Sejak saya mula dipilih menyandang jawatan Ketua Jabatan Bahasa Ibunda saya telah membuat resolusi dan bertekad untuk menyebarkan apa jua pengalaman dan pengetahuan yang ditimba bagi 'membimbing’ dan ‘melatih' serta 'membentuk' guru-guru di dalam jabatan saya dan juga rakan-rakan guru di sekolah dan juga di peringkat kelompok; beberapa aspek dan ciri-ciri yang perlu mereka ada atau miliki sekiranya mereka mempunyai aspirasi untuk menjadi pemimpin yang berkualiti tinggi di samping mampu menangani sebarang masalah dan konflik ketika menguruskan organisasi sekolah yang kian hari kian kompleks dan menuntut ketahanan diri yang betul-betul utuh bukan sahaja dari segi ketahanan fizikal dan mental bahkan ketahanan emosional dan spiritual yang hebat dan teruji.
Segala pengalaman, anekdot serta interaksi yang saya lalui adalah seratus peratus pengalaman peribadi saya. Pandangan dan pemikiran saya sedapat mungkin berdasarkan ciri-ciri profesionalisme, prinsip, gagasan atau konsep yang bersifat universal walau di mana atau dari mana ianya dirujuk. Semoga niat dan hasrat murni ini dapat menyumbangkan idea dan penyelesaian masalah dalam membantu sesiapa sahaja yang mungkin memerlukannya terutama kepada golongan guru-guru yang mempunyai aspirasi untuk menjadi ketua jabatan sekaligus pentadbir kurikulum yang sedang berkhidmat dalam dunia pendidikan Singapura.
Baik-baik belayar malam,
Ombaknya deras karangnya tajam;
Cari-cari mu'allim yang faham,
Di situ banyak kapal tenggelam.
Blog ini akan cuba mengupas secara ringkas ekspedisi pengembaraan saya di Sekolah Menengah Dunearn. Ringkasnya, blog ini adalah catatan berat dalam ringan. Blog in mengupas berbagai isu pendidikan daripada sudut pengalaman dan pandangan peribadi saya. Ringkasnya, blog ini adalah refleksi yang memaparkan ekspedisi pengembaraan saya. Rumusannya, blog ini berhasrat untuk memperkayakan pengalaman dan memberikan pendedahan kepada setiap individu tidak kira pengetua, guru, pelajar mahupun saya sendiri.
Saturday, November 29, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment